SAH MALAYSIA NEGARA DIKTATOR TERHADAP MEDIA ~ Ref Malaysiakini

Walaupun pemimpin kerajaan BN melaung-laungkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mesra media dan mengamalkan kebebasan media, namun itu semua hanyalah omongan kosong.

Dunia langsung tidak mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mesra media. Kedudukan Malaysia dalam indeks atau ranking kebebasan media terus merudum seumpama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) juga.

Amat malang dalam sebuah negara yang mengaku mengamalkan Islam Hadhari media semakin ditekan oleh kerajaan. Kita juga selalu dicanangkan bahawa Malaysia sedang berusaha untuk meliberalisasikan media namun hakikatnya hanyalah indah khabar dari rupa.

Kebebasan media di Malaysia jatuh merudum di mata antarabangsa apabila kedudukannya dalam Indeks Kebebasan Akhbar merosot lagi lapan anak tangga.

Daripada 173 negara yang ditinjau, Malaysia berada di tangga ke 132 berbanding 124 pada tahun lepas, demikian menurut organisasi pemantau kebebasan media, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang berpangkalan di Paris.

Kedudukan baru ini meletakkan Malaysia lebih teruk berbanding tahap kebebasan di beberapa negara Afrika seperti Nigeria (di tangga 131) dan Cameroon (129) dan hanya baik sedikit berbanding Chad (133), Sudan (135) dan Bangladesh (136).

Tahun lalu, Malaysia merosot mendadak sebanyak 32 anak tangga berbanding kedudukan ke-92 pada 2006. Menurut laporan RSF, kerajaan Malaysia menerima "kritikan menggunung" bawah pemerintahan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akibat mengenakan tindakan keras terhadap media, termasuk penulis blog.

Media utama selalunya terpaksa mengecilkan liputan atau mengabaikan banyak program parti pembangkang dan NGO, misalnya demonstrasi Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) tahun lepas dan mengarahkan media menghentikan perbahasan tentang isu-isu ISA.

Kes-kes lain termasuklah pengharaman akhbar Tamil Makkal Osai, penulis blog juga tidak terlepas daripada mendapat ancaman saman dan tangkapan polis, lapor RSF.

Petugas media beberapa akhbar seperti Malaysia Nanban dan Guangming Daily turut diserang oleh penyokong parti kerajaan.

Laporan itu juga mendakwa, media-media arus perdana didapati dikawal kerajaan dan mengamalkan swa-saringan.

Negara-negara jiran menikmati kebebasan akhbar yang lebih baik - dengan Indonesia di tangga ke-111 dan Thailand (124).

Bagaimanapun indeks kebebasan Singapura lebih buruk daripada Malaysia di kedudukan 144.

RSF merupakan organisasi terkenal yang memantau kebebasan akhbar di seluruh dunia sejak 1985.

Malu rasanya kita bila diajukan pelbagai persoalan kebebasan media oleh orang asing. Hakikatnya suratkhabar, Ketua Pengarang, pengarang,wartawan, penulis, blogger dan sesiapa juga sebenarnya berada dalam keadaan ketakutan kerana sebelah kaki mereka berada di dalam (penjara), lantaran undang-undang rimba seperti ISA, OSA, Akta Hasutan dan sebagainya terus membelenggu mereka.

Hanya media pengampu dan pembodek sahaja yang selamat dan dijadikan anak emas oleh kerajaan BN yang memerintah sekarang.

Rakyat harus sedar dengan hakikat ini dan perlu bangkit untuk mengajar kerajaan pada Pilihanraya umum akan datang.

Sumber Fakta dari Harakahdaily.

Comments

Vesu said…
kemampuan media memainkan peranan sebagai pencetus minda amat terhad dikalangan media yang dikawal oleh BN termasuk rtm dan tv swasta. saluran astro awani boleh di terima sebagai satu nafas baru untuk kebebasan berfikiran dan sebagai pusat pertukaran idea baru untuk bangsa dan negara... harap kerajaan persekutuan jangan pula sekat kemajuan yang di capai oleh awani...