KU LI SERTAI PAKATAN RAKYAT? ~ Ref Malaysiakini

Ku Li akan menyertai Pakatan Rakyat? Itu antara 'option' yang mungkin diambil oleh ahli politik veteran itu dalam meneruskan kesinambungan perjuangan politik beliau. Itu bukan perkara mustahil kerana Ku Li sendiri mempunyai 'track record' bertindak keluar dari Umno dan menjadi pembangkang.

Ku Li boleh sahaja menyertai PKR atau PAS sebagai landasan politik baru beliau. Malah beliau boleh juga menjadi ahli politik bebas seperti anak didiknya Ibrahim Ali yang sehingga kini masih tidak menyertai mana-mana parti sehingga boleh 'menembak' sesiapa sahaja yang beliau mahu tembak.

Ku Li pernah menentang Mahathir, Ku Li juga menentang Pak Lah pada pemilihan lalu tetapi gagal kerana tidak cukup kouta untuk bertanding. Maknanya Ku Li bukanlah seorang 'Yes Man' yang mengikut sahaja apa yang 'boss' katakan. Keberanian beliau ini tidak ada pada pemimpin Umno lain sentiasa mengiyakan apa yang Presiden Umno katakan.

Kali ini Ku Li sekali lagi dengan berani dan lantang menyuarakan hasrat untuk menentang Pak Lah. Beliau sejak dari awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan untuk bertanding jawatan idaman Pak Lah dan Najib tersebut.

Sejak setahun lalu Ku Li ke sana ke mari berkempen di segenap pelusuk negara bertemu ahli Umno akar umbi. Ada program beliau yang berjaya tidak kurang pula yang tidak berjaya lantaran sabotaj dari orang tertentu.

Apa akan berlaku jika sistem kouta sekali lagi menggagalkan hasrat Ku Li? Mungkinkah Ku Li akan melompat parti sekali lagi atau menubuhkan semula arwah partinya dulu.

Semuanya tidak mustahil.

Semalam Ku Li dipetik dari Mstar mengaku bahawa pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Anwar, bekas Menteri Kewangan itu juga ada menemui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Bagaimanpun Tengku Razaleigh berkata, pertemuan-pertemuan itu hanya berlangsung dalam "konteks kawan-kawan lama yang bertemu."

Ketika mengulas khabar angin bahawa sudah menyertai Pakatan Rakyat, Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata, beliau menemui pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat atas permintaan mereka mahu menemuinya untuk membincangkan masa depan negara.

Katanya, sebagai seorang pemimpin, saya terbuka untuk menemui kesemua ahli politik, tidak kira sama ada mereka dari Barisan ataupun Pakatan.

Malah desas-desus sedemikian pernah muncul tiga bulan lalu, yang beliau telah menemui pemimpin PAS di Parlimen dan ditawarkan memimpin pembangkang sebagai Perdana Menteri.

Laporan terbaru ini tidak menyebut bila beliau menemui pemimpin-pemimpin pembangkang.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga meminta kesemua ahli politik mengutamakan kepentingan negara khususnya ia penting dalam suasana seperti sekarang.

Beliau meminta semua pemimpin politik mengatasi ketidaktentuan politik dan ekonomi khususnya dalam keadaan sekarang.

Tengku Razaleigh menambah, beliau mempunyai rancangan sendiri untuk membantu negara bebas daripada persekitaran politik dan ekonomi semasa.

Ku Li sekali lagi mengakui bahawa beliau tidak inginkan jawatan ataupun kuasa.

Menurutnya keputusan menawarkan diri untuk menjadi kepimpinan negara adalah untuk menghadapi cabaran ekonomi global semasa.

Tengku Razaleigh sebelum ini konsisten mengecam pelan peralihan kuasa dalam Umno antara Pak Lah-Najib yang disifatkan beliau sebagai tidak demokratik.

Comments