ISU KEHILANGAN WANG DERMA : IMRAN GESA BPR SIASAT ~ Ref Malaysiakini

Masjid Tanah : Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat isu kehilangan wang tabung yang diwujudkan oleh Biro Kebajikan Umno Kuala Linggi bagi membawa pulang anak dan lima cucu seorang nenek, Salmah Mahmud, 67 yang sekarang ini tinggal di Lombok Indonesia.

Imran kesal kerana pihak yang menguruskan tabung itu gagal menguruskannya dengan amanah dan baik.

"Diharapkan BPR dapat menyiasat kehilangan wang dari tabung tersebut dan jika terbukti terdapat penyelewengan individu terbabit mesti dihadapkan ke mahkamah walaupun mungkin duit itu telah diganti".

"Saya amat kesal kerana ada pihak yang sanggup menangguk di air keruh mengambil kesempatan dari kesusahan orang lain untuk mengutip derma dan selepas itu wang kutipan pula lesap" katanya dengan kesal.

Beliau yang juga Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, menggesa BPR supaya bertindak pantas dan tidak memilih bulu dalam meneruskan penyiasatan ini.

"Walaupun jumlahnya kecil namun kita mahu isu-isu sepertimana ini menjadi wabak dan barah dalam masyarakat di mana orang yang diberi kepercayaan sanggup pecah amanah dan melarikan wang derma ini" tegas beliau.

Tabung yang dilancarkan kira-kira dua bulan lalu berjaya mengumpul sekitar RM1000 hasil derma dan simpati orang ramai, malangnya, tabung itu hanya tinggal RM 450 tanpa diketahui ke mana duit tersebut dibelanjakan.

Malah, nenek itu yang juga ibu tunggal dari Kampung Bukit Darat, Kuala Sungai Baru, dekat sini, tidak pernah menerima sesen pun wang berkenaan walaupun tabung itu ditubuhkan bagi membantu membawa anak keempat dan lima cucunya pulang ke negara ini selepas berpindah ke Lombok kerana mengikut menantunya enam tahun lalu.

Salmah pernah bertanya mengenai jumlah duit dalam tabung itu, tetapi jawapan diberi sungguh mengecewakan dan kini dia tidak lagi mahu mengharapkan bantuan biro berkenaan.

"Biar saya cari wang sendiri. Saya tidak harapkan wang dari biro itu lagi. Cukuplah apa yang berlaku," katanya dipetik dari laporan sebuah akhbar harian.

Comments