HARAMKAN SEMENTARA MAKANAN YANG MENGANDUNGI MELAMIN ~ Ref Malaysiakini

Saya mencadangkan kerajaan Malaysia mengharamkan semua jenis makanan yang mengandungi melamin. Pengharaman ini mesti dikuatkuasakan serta merta sehingga kajian dibuat dan disahkan makanan terbabit disahkan selamat untuk dimakan.

Memang tidak dapat dinafikan makanan pada zaman sekarang penuh dengan bahan kimia yang digunakan sebagai bahan pengawet, bahan tambahan untuk perisa, bahan pewarna dan sebagainya. Kalau nak diikutkan memang kita tidak dinasihatkan untuk memakan semua jenis makanan yang ada di pasaran sekarang.

Bukan sahaja bahan makanan yang diproses, makanan seperti ikan, daging, sayur dan sebagainya juga dibubuh dengan bahan pengawet bagi memberikan ketahanan supaya boleh disimpan dalam jangkamasa yang lama.

Malah bukan sahaja makanan, ubat-ubatan sendiri pun mengandungi bahan kimia dan dadah yang merbahaya jika diambil terlalu kerap dan dengan kuantiti yang banyak. Sebab itulah manusia sekarang sering terdedah dengan pelbagai penyakit yang mungkin tidak pernah dilihat dan didengar oleh generasi datuk nenek dan moyang kita dahulu. Sejak akhir-akhir ini juga kita sering mendengar ramai yang meninggal ketika tidur sehingga ada yang dikatakan tidak ada penyakit tiba-tiba meninggal.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita susu di China dicemari dengan bahan melamin yang merbahaya. Pencemaran melamin dalam produk tenusu telah mengorbankan empat bayi di negara tersebut dan menyebabkan 54,000 lagi mengalami masalah buah pinggang dan penyakit-penyakit lain.

Kini kita dikejutkan pula dengan pendedahan bahawa sayur-sayuran import dari republik itu turut tercemar dengan kandungan melamin yang tinggi.

Kementerian Kesihatan kini mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjalankan pemeriksaan tahap empat terhadap semua produk makanan dari China bagi memastikan ia benar-benar selamat, lapor Bernama.

Kementerian juga mendapat tahu dari Korea (Selatan) bahawa mereka mengesan kadar melamin yang tinggi dalam sayur-sayuran yang mereka import dari China.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata kementeriannya telah melancarkan pemeriksaan tahap empat terhadap semua produk makanan dari China dengan mengambil contoh produk berkenaan untuk ujian.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri konvensyen MCA Sabah di sini Sabtu, Liow memberi jaminan bahawa kadar melamin dalam produk makanan yang dijual di pasaran negara ini adalah pada paras yang dibenarkan.

Agensi berita yang sama turut melaporkan pihak berkuasa keselamatan makanan Korea Selatan menemui bahan berasaskan nitrogen itu dalam coklat berjenama Kit Kat dan Snickers yang dihasilkan dari China.

Jika diambil berlebihan atau dengan kerap, melamin boleh mendatangkan risiko kesihatan.

Saya mencadangkan kementerian dengan seberapa segera mengeluarkan 'list' barangan yang mengandungi melamin supaya rakyat dapat menjauhkan diri dari memakannya. Setelah kajian dibuat dan dipastikan ianya selamat barulah makanan disahkan selamat oleh kerajaan.

Selagi kajian belum lengkap dan makanan terbabit belum disahkan selamat saya mengharapkan kerajaan mengharamkan ia dari dijual.

Comments