SYABAS ZAID, KATA DIKOTA, JANJI DITEPATI ~ Ref Malaysiakini

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim hari ini mengotakan janjinya dengan menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Perdana Menteri petang ini kerana tidak berpuashati dengan tindakan kerajaan menggunakan ISA menahan 3 orang rakyat Malaysia tiga hari lalu.

Zaid melahirkan rasa tidak senangnya pada langkah kerajaan menangkap exco kerajaan Selangor dan juga ahli parlimen DAP Teresa Kok, pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng atas dakwaan mengancam keselamatan negara, Jumaat lalu.

Semalam Zaid mengancam untuk meletakkan jawatan kerana menurutnya kerajaan terus menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkannya sebagai 'tidak adil'.

Beliau juga berkata Malaysia mempunyai sebuah kerajaan yang komited kepada undang-undang dan pembaharuan dan negara tidak boleh menggunakan politik gaya lama atau bertindak mewujudkan ketakutan.

Menurutnya Malaysia mempunyai undang-undang dan mereka boleh didakwa di mahkamah.

Selain dari kekecewaan terhadap penggunaan ISA, perletakkan jawatan Zaid ini juga mungkin disebabkan kegagalan beliau mempertahankan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Bharu selepas tidak mendapat cukup pencalonan.

Beliau hanya mendapat 17 pencalonan, kurang tujuh daripada yang diperlukan.

Semua 116 cawangan telah mengadakan mesyuarat tetapi empat cawangan diarahkan bermesyuarat semula kerana masalah teknikal.

Berikutan itu, jawatan ketua Umno bahagian Kota Bharu dimenangi oleh bekas timbalannya Datuk Mohd Fatmi Che Salleh, pemangku jawatan tersebut sewaktu Zaid digantung keahlian selama tiga tahun kerana politik wang.

Fatmi yang terkenal sebagai orang kuat Najib sejak dahulu berjaya mengenepikan Zaid tanpa bertanding dan ini merupakan tamparan hebat kepada karier politik Zaid yang dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri melalui pintu belakang setelah dilantik sebagai Senator. Mohd Fatmi kini setiausaha politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Zaid tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kota Baharu sebaliknya BN meletakkan Fatmi pada Pilihanraya Umum lalu, namun Fatmi tewas teruk ditangan Wan Abdul Rahim Abdullah dari PAS.

Comments