PELAN 16 SEPT TINGGAL KENANGAN, TARIKH LAIN DIPILIH? ~ Ref Malaysiakini

Pakatan Rakyat yang menyasarkan untuk membentuk kerajaan baru 16 September - Selasa ini, namun ianya mungkin tinggal kenangan tetapi jangan risau tarikh lain akan dipilih untuk menzahirkan hasrat dan doa rakyat. Lambat atau cepat tidak penting yang penting hasrat dan kemahuan kita semua akan dimakbulkan Allah, Insya Allah.

Anwar masih terus menunjukkan keyakinan bahawa kerajaan PR akan dibentuk dalam masa terdekat walaupun mungkin bukan pada 16 September ini.

Sementara itu Pakatan Rakyat melahirkan hasrat untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secepat yang mungkin.

Insya Allah pertemuan ini akan membincangkan banyak perkara berkenaan kezaliman ISA, peralihan kerajaan dan banyak isu lain demi kepentingan negara dan rakyat.

Ketika mengumumkan perkara itu di sini semalam, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan itu perlu untuk membincangkan soal keselamatan negara dan masa depan politik Malaysia.

"Suasana tidak stabil yang nampaknya sengaja ditimbulkan oleh pihak kerajaan mengundang rasa tidak tenteram di kalangan rakyat terbanyak dan boleh mengancam keselamatan negara," kata beliau dalam kenyataan di blognya malam tadi.

Selain itu, kata beliau, Pakatan Rakyat akan mengadakan himpunan secara aman bersama Kerajaan Negeri Selangor di Stadium Kelana Jaya malam esok bagi merayakan Hari Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat tertinggi khas Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di sini petang semalam.

Dalam pertemuan yang disyorkan itu, Pakatan Rakyat mahu menyampaikan kebimbangannya terhadap apa yang mereka takrifkan sebagai penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketika bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu semalam, Pakatan Rakyat juga menggesa agar Perdana Menteri membebaskan semua mereka yang ditahan di bawah akta itu kelmarin.

Kata Anwar, jika masalah ketenteraman awam dijadikan alasan untuk menahan individu di bawah ISA, pihak yang patut dipersalahkan adalah Umno kerana membiarkan pemimpinnya memainkan sentimen perkauman dan bukan orang lain.

"Tindakan menggunakan ISA itu jelas bertujuan menakut-nakutkan rakyat dan ahl-ahli Parlimen pembangkang," katanya.

Beliau juga menggesa semua pihak agar bekerjasama bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang akan membangkitkan isu-isu perkauman yang boleh menyinggung mana-mana pihak di negara ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menyelar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggapnya tidak masuk akal petang semalam melibatkan punca wartawan akhbar berbahasa Cina ditahan kelmarin.

Sehubungan itu, jelas beliau, Parlimen perlu bersidang segera bagi memansuhkan ISA agar ia tidak lagi dicabul untuk tujuan politik pihak tertentu termasuk bagi mempertahankan hak wartawan menjalankan tugas tanpa takut.

"Hakikat bahawa pemberita yang ditahan semalam kini menempa sejarah sebagai tahanan ISA paling pendek menunjukkan alasan menahannya adalah tidak kukuh.

"Kita menuntut dua lagi individu yang ditahan semalam dibebaskan segera tanpa syarat. Kami juga mendesak agar surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada tiga akhbar ditarik balik," tegasnya.

Wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng adalah antara tiga yang ditahan di bawah ISA malam tadi.

Tan bagaimanapun dibebaskan petang semalam setelah Syed Hamid menjelaskan bahawa dia sebenarnya ditahan bagi memastikan keselamatannya terjamin setelah menerima ugutan.

Malah, Anwar menambah, Pakatan Rakyat juga memutuskan untuk menangguhkan pelan membentuk kerajaan baru bagi mengelak isu itu digunakan oleh kerajaan untuk memperluaskan penggunaan ISA.

Pada Selasa lalu, Anwar mengumumkan bahawa pihaknya akan menganjakkan tarikh mencapai sasaran pembentukan kerajaan baru persekutuan ke tanggal lain - kemungkinan 20 atau 21 September ini, bukannya 16 September.

Jelas Anwar, buat sementara waktu fokus Pakatan Rakyat adalah untuk memastikan ketenteraman awam tidak terganggu berikutan penahanan tiga individu di bawah ISA.

"Dari segi jumlah kita tidak ada masalah. Kita akan meneruskan pelan kita seperti yang dirancang mengikut peruntukan Perlembagaan Negara," katanya.

Sumber : Mstar

Comments