PAK LAH TERUS DITEKAN, PERLIS DAN MUBARAK PULA SOKONG KENYATAAN NAJIB, MUHYIDDIN ~ Ref Malaysiakini

Bulan Ramadhan dan Syawal tahun ini sudah pasti menjadi bulan puasa dan hari raya yang pahit buat Mursyidul Am Islam Hadhari kerana kemungkinan besar 'Majlis Syura' Umno yang bersidang pada Disember ini akan mem'pencen'kan beliau setelah beliau berdegil untuk terus kekal hingga tahun 2010.

Namun ianya mungkin tinggal kenangan kerana satu demi satu kenyataan dibuat oleh pemimpin Umno menyokong Najib dan Muhyiddin yang mahukan peralihan kuasa dipercepatkan.

Nampaknya Pak Lah dan menantu kesayangannya Khairy Jamaluddin (KJ) benar-benar berada dalam kepanasan pada bulan Ramadhan ini.

Hari ini Badan Perhubungan Umno Perlis dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) pula bersetuju pelan peralihan kuasa daripada Pak Lah kepada AlNajib Razak ditentukan melalui bahagian Umno bagi mencerminkan suara majoriti.

Kenyataan ini cukup memeningkan kepala Pak Lah kerana adalah dijangkakan selepas ini akan ada Badan Perhubungan Umno Negeri lain akan membuat kenyataan yang sama. Mungkin juga peristiwa menaiki pesawat membawa beg plastik 'bungkus belacan' yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba berulang sekali lagi. (Tun Ghafar pernah melakukan sedemikian sebaik beliau dikalahkan oleh Anwar sebelum bertanding jawatan Timbalan Presiden semasa zaman kegemilangan Mahathir dulu.)

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata hari ini bahawa peralihan kuasa itu tidak semestinya terikat dengan Majlis Tertinggi Umno, lapor Bernama.

Mengikut pelan peralihan kuasa, Abdullah akan menyerah jawatan perdana menteri, pengerusi Barisan Nasional dan presiden Umno kepada Najib pada Jun 2010.

Namun baru-baru ini Najib dilaporkan sebagai berkata bahawa peralihan kuasa itu harus ditentukan melalui mesyuarat bahagian Umno, manakala naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyifatkan tempoh peralihan kuasa itu terlalu lama.

Zahidi juga berkata Umno perlu diperkasakan semula agar ia akan kembali dihormati oleh pelbagai peringkat umur.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, kesemua Umno bahagian berhak untuk memilih pemimpin bagi menjawat jawatan tertinggi dalam parti itu termasuk Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan Umno Disember depan tanpa perlu terikat kepada pelan peralihan kuasa Jun 2010.

Menurutnya pelan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Julai lalu hanyalah satu persefahaman antara mereka sedangkan akar umbi yang sebenarnya berhak menentukan siapa yang diinginkan untuk memimpin mereka.

Fening, fening, fening kepala Pak Lah.

Comments