MELAKA BERHARI RAYA DALAM BANJIR? ~ Ref Malaysiakini

Nampaknya kedatangan musim tengkujuh, atau north east monsoon, kali ini adalah sedikit cepat berbanding dengan tahun tahun sebelumnya. Pada kebiasaannya, hujan musiman ini hanya mula sampai sekitar minggu ke 3 bulan September. Tetapi kali ini ianya telah turun pada minggu ke 3 bulan Ogos.

Menurut Pakar dalam bidang banjir dari Universiti Malaya (UM), Professor Hamirdin Ithnin ini adalah petanda bahawa dalam masa beberapa bulan akan datang ini kemungkinan banjir akan sekali lagi melanda negara kita.

Beliau menjangkakan negeri-negeri yang secara tradisinya dilanda banjir di Pantai Timur Semenanjung akan mengalaminya sekali lagi.

Kawasan-kawasan yang lebih memerlukan perhatian ialah kawasan kawasan yang banyak mengalami tindakan antropogenik, terutamanya di Lembah Kelang di mana dijangkakan Kuala Lumpur, Shah Alam , Kelang akan mengalami banjir kali ini. Hulu Langat adalah juga kawasan yang akan mengalami masalah ini di mana Majlis Perbandaran Kajang dijangka ditenggelami air bila-bila masa dari sekarang hingga April 2009.

Melaka juga tidak terlepas dari ancaman banjir sebagaimana yang dialami pada Disember 2006.

Menurutnya, adaalah dijangkakan Melaka Bandaraya Bersejarah juga akan dilanda banjir dengan lebih teruk kali ini.

Pada bulan Disember 2006 sebahagian besar negeri Melaka dilanda banjir yang teruk yang dikatakan antara yang terburuk dalam sejarah banjir negeri Melaka. Sebahagian besar negeri Melaka ditenggelami air dan ianya hampir melumpuhkan kegiatan seluruh rakyat negeri Melaka termasuk di Bandar Melaka.

Sehingga kinipun masalah banjir kilat juga masih belum dapat diatasi dibeberapa tempat terutama di Parlimen Bukit Katil dan Kota Melaka. Banjir kilat yang melanda Kampung Tun Razak di Bukit Katil selama 11 tahun masih belum dapat diatasi oleh kerajaan negeri. Begitu juga dengan masalah banjir di Durian Daun Dalam masih menghantui penduduk setempat.

Banjir juga berlaku dengan teruk pada 22 April 2008 lalu apabila 200 buah rumah dan premis perniagaan di Masjid Tanah ditenggelami air sedalam 1 meter. Kawasan-kawasan yang terjejas dengan teruk ialah Taman Bandar Baru, Taman Masjid Tanah Ria, Kawasan Perindustrian Kecil dan Sederhana Masjid Tanah, Kampung Air Pa'abas, Kampung Lendu, Kampung Padang Kambing, Kampung Solok Uban dan Kampung Sungai Buluh. Seramai 164 orang mangsa banjir dipindahkan pada tarikh tersebut.

Begitu juga di Daerah Melaka Tengah seramai 414 orang mangsa banjir telah dipindahkan di mana mereka ialah penduduk dari kawasan yang dilanda banjir iaitu Kampung Durian Daun Dalam, Kampung Bukit Cina, Kampung Mata Kuching dan Bandar Hilir.

Banjir akan melanda Batu Berendam sekali lagi?

Banjir yang melanda kawasan sekitar Batu Berendam pada Disember 2006 masih menjadi trauma terutama penduduk Taman Merdeka, Taman Merdeka Jaya, Taman Angkasa Nuri dan sekitarnya. Kini penduduk di kawasan tersebut tertanya-tanya adakah musibah ini akan melanda mereka sekali lagi.

Kemungkinan ini ada asasnya kerana kawasan disekelilingnya sedang dibangunkan iaitu Lapangan Terbang Batu Berendam. Pembesaran lapangan terbang ini sedikit sebanyak dilihat menjejaskan keadaan sekeliling. Malah paling ketara sekali taman-taman disekitarnya kini seolah-olah menjadi kawasan tadahan hujan disebabkan kawasan lapangan terbang tersebut terbang tersebut telah ditambak menjadi tinggi. Kini kawasan taman perumahan ini menjadi lebih rendah dan kemungkinan kawasan ini mudah digenangi air memang ada.

Malah lebih menakutkan setiap kali hujan lebat air hujan seringkali memenuhi longkang di mana kadang-kadang paras air di longkang besar berhampiran Pasar Borong melebihi separuh ketinggian longkang tersebut.


Alor Gajah akan banjir teruk?

Alor Gajah juga mungkin merasai masalah ini. Walaupun baru-baru ini Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan bahawa pembinaan sebuah Empangan Sungai Kuning di Alor Gajah yang mengikutnya akan menghapuskan masalah banjir di Alur Gajah tetapi menurut kajian Professor Hamirdin pembinaan empangan ini tidak memberikan sebarang kesan. Kawasan tadahan sungai tersebut adalah terlalu kecil untuk bertindak secara berkesan bagi menghalang banjir di Alor Gajah.

Dalam kajian beliau, Prof Hamirdin menegaskan bahawa permukaan bumi di Alor Gajah menghasilkan terlalu banyak air larian permukaan, iaitu air yang kita lihat mengalir dipermukaan bumi sebaik sahaja hujan turun. Kalau air jenis ini dihasilkan terlalu banyak, maka sistem saliran yang sedia ada tidak mampu untuk menampungnya.

Disini tumbuhan, terutamanya hutan, memainkan peranan penting untuk menahan, menyederhana, menyerap dam melambatkan perjalanan air permukaan ini. Bukit-bukit disini sepatutnya ditumbuhi oleh hutan hujan tropika, tetapi keadaan ini tidak lagi berlaku sekarang.

Bagi Kawasan Taboh Naning pula bukit-bukit seperti Bukit Tinggi, Bukit Payong, Bukit Batu Ampar dan Bukit Kelana, sepatutnya ditumbuhi oleh hutan hujan tropika atau pun belukar seperti yang didapati 35 tahun dulu, tetapi oleh kerana ia telah dipenuhi oleh aktiviti manusia, maka fungsi hidrologi yang sepatutnya dimainkan oleh tumbuhan in tidak berlaku sekarang. Dengan itu Sungai Simpang Ampat menerima terlalu banyak air larian permukaan apabila berlaku jujan.

Imej satelit juga menunjukkan kawasan di sekitar Bukit Ulu Panjang, Bukit Terbakar, Bukit Batu Berdinding, Bukit Ayer Menching, Bukit Maling Maling, Bukit Tunggal, Bukit Ayer Lanjut dan Bukit Mersawa adalah kawasan yang telah dimajukan dan tidak mampu lagi memainkan peranan hidrologi yang berkesan.

Oleh itu adalah sesuatu yang memang dijangkakan kalau air larian yang banyak dihasilkan di kawasan ini, dan air ini memenuhi sistem Sungai Siput dan juga Sungai Simpang Ampat. Oleh itu kita bimbang kawasan di sekitar Alor Gajah dan Taboh Naning akan mengalami banjir yang teruk akibat aktiviti manusia yang rakus menggondolkan hutan.

Bagi pekan Masjid Tanah pula, imej satelit jelas menunjukkan Bukit Apit dan Bukit Samak telah digondolkan tumbuhannya, jadi kalau keadaannya sedemikian, bagaimanakah kawasan sekeliling Masjid Tanah dapat membantu kawasan rendah yang disaliri oleh Sungai Baru yang lalu ditengah-tengah pekan tersebut. Kemungkinan besar juga Pekan Masjid Tanah akan juga ditenggelami air sekali lagi.

Ramalan ini diperkuatkan lagi kejadian banjir pada 21 April lalu yang mengakibatkan 200 rumah dan premis perniagaan di Masjid Tanah ditenggelami air sedalam 1 meter.

Berhari raya dalam banjir?

Professor Hamirdin juga menjangkakan penghujung bulan September ini hujan akan turun dengan lebih lebat dan kerap. Oleh itu, kawasan Alor Gajah akan menerima kesan hujan ini paling maksima. Lebih membimbangkan Aidil Fitri yang akan disambut dihujung September atau awal Oktober ini menjadi Hari Raya yang memberikan seribu kenangan kerana kemungkinan besar banjir akan berlaku di Alor Gajah dan kawasan-kawasan lain di sekitar Melaka.

Namun kita mengharapkan bala Allah ini tidak menjadi kenyataan. Semuanya adalah atas sebab musabah manusia yang rakus memusnahkan mukabumi Allah tanpa sebarang perancangan rapi dan teliti.

Comments