ANWAR JUMPA PAK LAH HARI INI JUGA ? ~ Ref Malaysiakini

Saf kepimpinan PR yang menghantar surat untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengharapkan pertemuan itu menjadi kenyataan secepat mungkin.

Pertemuan ini sangat penting untuk rakyat dan negara kerana ia menjadi titik tolak peralihan kuasa yang licin dan teratur andaikata PR benar-benar mendapat sokongan majoriti Ahli parlimen sebagaimana yang dikatakan oleh Anwar sejak 6 bulan lalu.

Sebagai seorang yang berjiwa besar seseorang pemimpin mesti menerima hakikat bahawa suatu hari beliau akan meninggalkan kuasa dan pangkatnya tidak kira samada secara sukarela atau di'hukum' oleh rakyat.

Hari untuk Pak Lah berundur juga sudah sampai. Jika tidak ditangan PR sudah tentu beliau juga akan di'tendang' oleh anak buahnya sendiri yang sedang mengatur strategi untuk menyisihkannya dari kerusi no 1 kerajaan dan parti.

Pak Lah mesti bersedia untuk bertemu dan Anwar dan pemimpin PR lain demi masa depan negara, bangsa dan agama. Tidak ada gunanya berkeras sedangkan diri sendiri ditolak penyokong sendiri dan PR. Malah rakyat juga menunjukkan reaksi yang sama berdasarkan kepada beberapa kajian badan bebas yang jelas membuktikan peratusan sokongan kepada Pak Lah merudum umpama merudumnya indeks BSKL.

Pertemuan kedua-dua pemimpin ini mesti direalisasikan secepat mungkin bagi memulihkan konflik negara kita yang semakin parah dari segi politik, ekonomi, sosial dan segalanya.

Andaikata ianya tidak menjadi kenyataan dalam masa terdekat saya bimbang Pak Lah bukan sahaja menjahanamkan imej dirinya tetapi juga menjahanamkan negara kita. Negara mungkin terjerumus ke dalam kancah politik dan kedudukan ekonomi yang tidak menentu yang akhirnya rakyat dan negara menjadi korban.

Sekarang inipun negara kita sudah terkena tempias ketidaktentuan politik, ekonomi dan pentadbiran negara kerana kedegilan Pak Lah yang berkeras mahu meneruskan khidmatnya sebagai Perdana Menteri. Inilah masalahnya yang berlaku dalam politik Malaysia apabila pemimpin perasan dirinya hebat dan tetap disokong oleh rakyat. Sedangkan sebenarnya beliau sudah dicemuh dan dikeji oleh rakyat kerana kelemahan, kecuaian dan kelembapan pemerintahannya.

Diharapkan Pak Lah tidak menjadikan agenda kepentingan politik sendiri mengatasi kepentingan negara, agama dan bangsa.

Kami sebagai rakyat merayu kepada Pak Lah supaya sedar dan insaf akan situasi sebenar di mana dirinya sudah ditolak oleh rakyat dan seluruh kepimpinan politik di dalam negara samada dari PR ataupun BN.

Comments