31 OGOS KERAJAAN PR PERAK TUMBANG? ANGAN-ANGAN MAT JENIN TAJOL ROSLI TIDAK KESAMPAIAN ~ Ref Malaysiakini

Tarikh 31 Ogos memang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia untuk memperingati hari kemerdekaan negara. Namun di Perak ianya lebih-lebih ditunggu berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ini kerana tarikh 31 Ogos dikatakan tarikh di mana Perak akan mendapat kerajaan baru iaitu kerajaan BN menggantikan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin.

Malah mungkin juga bakal Menteri Besar yang berangan-angan tinggi, Datuk Seri Tajol Rosli sudah menempah baju melayu atau kot baru untuk mengangkat sumpah kerana beliau beriya-iya benar menyatakan bahawa 31 Ogos kerajaan PR akan tumbang.

Malangnya angan-angan beliau boleh disifatkan sebagai angan-angan Mat Jenin kerana sehingga hari ini 2 September, kerajaan PR masih utuh dan kukuh. Mengapa perancangan beliau gagal? Hanya Datuk Seri Tajol Rosli sahaja yang tahu jawapannya.

Tak apa Datuk Seri cuba lagi dengan perancangan lain, tetapi pastikan perancangan dan usaha Datuk Seri tidak bercanggah dengan Islam, demokrasi dan undang-undang. Kalau Datuk Seri tanya saya bagaimana untuk merampas kembali kerajaan Perak dari PR, saya cadangkan Datuk Seri tunggu sehingga Pilihanraya Umum ke 13 biar rakyat negeri Perak membuat keputusan. Sementara menunggu kedatangan Pilihanraya Umum ke 13 Datuk Seri bolehlah mengaturkan strategi BN bagaimana untuk menawan hati pengundi.

Saya pun simpati kepada Datuk Seri sebab bukan senang nak jadi Menteri Besar pencen yang dipencenkan oleh rakyat (kalah pada pilihanraya umum). Jarang sekali Menteri Besar pencen disebabkan penolakan rakyat. Mungkin sebelum ini ada beberapa orang seperti Datuk Mohamad Yaakub (Kelantan); Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (Terengganu), mungkin ada lagi saya lupa kot.

Saya nasihatkan kepada Datuk Seri tidak usah lah ganggu kerajaan PR di Perak. Biarkan Ir Nizar dan YB Ngeh serta yang lain-lain mentadbir dan membangungkan negeri Perak. Datuk Seri sebagai Ketua Pembangkang yang berpengalaman boleh memberikan nasihat dan teguran membina. Tidak perlu berteriak dan menunjukkan perangai yang tidak beradab seperti yang ditunjukkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak tempohari.

Datuk Seri pun bukannya muda lagi dah matang dan berpengalaman. Malu lah sikit kepada budak-budak. Tidak perlu kecoh-kecoh bertindaklah secara matang dan professional.

Datuk Seri bukan orang susah. Pencen anggota kabinet ada, pencen Menteri Besar ada dan mungkin juga ada sumber-sumber lain. Jadi tak perlu kacau-kacau lah.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dihubungi Mstar berkata, beliau juga menunggu perkara samada berlaku pertukaran kerajan berlaku, namun ia ternyata tidak menjadi kenyataan.

“Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak masih mempunyai 31 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) pada 31 Ogos. Tiada perubahan... tiada yang melompat (parti),” katanya.

Mohammad Nizar berkata, beliau ada bertemu dengan Tajol ketika upacara perbarisan Hari Merdeka peringkat negeri di Ipoh semalam (31 Ogos lalu), namun katanya mereka sekadar bersalam dan bertanya khabar.

“Saya jumpa beliau... saya tunggu juga kalau-kalau ada pengumuman yang beliau hendak lakukan tapi tak ada pula.

“Saya bersalaman... bertanya khabar dan ucapkan Selamat Hari Merdeka dan selamat berpuasa kepada beliau. Tiada pula tanda-tanda yang beliau akan menggulingkan kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan Tajol mempunyai tarikh lain selepas ini untuk mengambil alih kerajaan pimpinannya, Mohammad Nizar berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

“Itu kenalah tanya dia. Saya tidak tahu kenapa ia tidak berlaku (ambil alih kerajaan)...ada perkara-perkara yang tidak tercapai.

“Namun, apa yang penting matlamat kerajaan Pakatan Rakyat pada hari merdeka adalah memerdekakan negeri Perak dari kejahilan dan semangat perkauman,” katanya.

Bulan lalu, Tajol yang juga Pengerusi BN Perak mengharapkan lebih daripada dua ADUN Pakatan Rakyat akan menyertai BN dan beliau turut menawarkan jawatan Menteri Besar kepada PAS sekiranya parti itu bersedia membentuk kerajaan campuran dengan BN.

Comments