PMTG PAUH : LEBIH 20,000 HADIRI CERAMAH ANWAR DI JALAN BAHARU ~ Ref Malaysiakini

Lebih dari 20,000 rakyat menghadiri ceramah Dato' Seri Anwar Ibrahim di Jalan Baharu malam tadi. Ceramah yang dianjurkan oleh Unit Peti Undi Jalan Baharu tersebut mendapat sambutan hebat walaupun hujan turun sepanjang ceramah tersebut diadakan. Orang ramai sedikti pun tidak berganjak walaupun mereka basah kuyup.

Lebih menarik lagi, ceramah tersebut dihadiri oleh semua lapisan masyarakat.

Anwar dalam ceramahnya menyifatkan BN sudah terlalu terdesak sehingga sanggup melakukan taktik paling kotor dalam sejarah politik Malaysia.

"Apa lagi yang BN tidak lakukan mereka telanjangkan saya, mereka tuduh saya agen Yahudi, Agen Cina, Agen Hindraf dan lain-lain".

Beliau juga mengingatkan menantu Perdana Menteri Khairy Jamaluddin supaya jangan terlalu sombong sehingga mahu menguburkan karier politik beliau di Permatang Pauh.

"Khairy kena ingat ini gelanggang saya, di sini saya dibesarkan, disini saya bekerja, disini ramai sanak saudara saya, mereka faham benar siapa Umno siapa Anwar, Insya Allah pengundi Permatang Pauh akan menguburkan BN di sini"kata Anwar disambut dengan laungan reformasi dan takbir oleh hadirin.

Anwar juga memohon dan merayu pengundi Permatang Pauh supaya keluar awal besok untuk mengundi bagi mengelakkan masalah-masalah yang tidak diingini berlaku.

Turut berceramah bersama beliau ialah Naib Presiden PAS YB Dato' Husam Musa, YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Presiden PKR, Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat.

Comments