PASCA MUKTAMAR : PEMIMPIN DAN AHLI PAS MATANG ~ Ref Malaysiakini

Pemimpin dan ahli-ahli PAS jelas matang berpolitik dan berjemaah. Ini terbukti pada muktamar PAS Pusat yang berakhir semalam, di mana para perwakilan dan pemimpin PAS berbahas dan bersoal jawab dengan matang tanpa dipengaruhi emosi dan perasaan.

Jangkaan pihak musuh dan media bahawa muktamar tersebut akan berlangsung dalam suasana tegang dan panas meleset, apabila semua perwakilan menyuarakan kritikan (nasihat), pandangan dan saranan dalam keadaan tenang, professional dan beradab. Ini berbeza dengan mesyuarat agong Umno di mana banyak dilaporkan kejadian seperti melempar kerusi, tumbuk meja malah berlaku kejadian tumbuk-menumbuk hingga menjadi kes Polis.

Jangkaan pihak musuh yang mendakwa kes muzakarah dan muqabalah akan memecahbelahkan PAS akhirnya meleset apabila pimpinan PAS tertinggi iaitu Mursyidul Am, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, menjelaskan bahawa tidak salah untuk bermuqabalah dengan sesiapa sahaja asalkan Islam menjadi asas kepada perbincangan tersebut. Selain itu Presiden PAS juga menegaskan bahawa PAS tidak sesekali akan meninggalkan Pakatan Rakyat dan menyertai BN. Malah Presiden PAS dengan penuh yakin berkata, selagi Islam menjadi tunjang kepada perjuangan PAS, ianya tidak akan tumbang walau sebesar mana badai dan taufan melanda.

Tok Guru Nik Aziz dalam penjelasan terhadap keterlibatan PAS dalam Pakatan Rakyat menjelaskan bahawa PAS telah diterima baik oleh rakyat Bukan Islam untuk menjadi pemimpin di mana mereka sudah berani mengundi calon-calon PAS pada Pilihanraya Umum lalu. Ini merupakan suatu perkara yang sangat penting lebih penting dari kejayaan PAS bersama Pakatan Rakyat memerintah 5 negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor. PAS, katanya berjaya merungkaikan tanggapan negatif sebelum ini bahawa PAS adalah Taliban.

Penjelasan dari dua orang pimpinan yang PAS yang paling disegani ini, diterima baik oleh ahli-ahli PAS walaupun masih ada yang menyuarakan kebimbangan tentang kecenderungan PAS untuk bermuqabalah dengan Umno. Namun pandangan dan luahan hati mereka ini berjaya dirungkaikan dengan penjelasan yang konkrit dan tepat oleh semua pimpinan PAS yang bercakap dalam soal ini.
Tuan Guru Presiden juga menegaskan peranan kelab penyokong PAS akan ditingkatkan termasuk memberi jawatan senator kepada pemimpin mereka. Bagaimanapun, katanya, oleh kerana pelantikan senator terpaksa melalui proses undang-undang negeri, maka ia mungkin mengambil masa untuk berbuat demikian. Tetapi, katanya kita telah melantik mereka dalam agensi-agensi milik kerajaan negeri.

Muktamar kali 54 yang juga kali keempat diadakan di Perak ini disifatkan berjaya mencapai matlamatnya di mana secara ringkas dua perkara penting menjadi bekal berguna kepada pimpinan PAS pelbagai peringkat dan ahli-ahli PAS.

Muktamar yang bermula sejak 13 Ogos tersebut berakhir semalam dengan ucapan penggulungan oleh Tuan Guru Presiden.

Comments