PAK LAH SILA BERI LALUAN KPD ANWAR ~ Ref Malaysiakini

Di hari baik bulan baik ini, saya merayu kepada Pak Lah supaya memberikan laluan kepada Anwar untuk menggantikan beliau memegang tampuk pemerintahan Malaysia demi untuk kesejahteraan negara dan rakyat.

Pak Lah sudah diberi masa lebih dari 4 tahun untuk membuktikan kemampuan beliau menerajui negara ini. Namun hakikatnya 'report card' Pak Lah semuanya 'merah' tak lulus.

Ekonomi negara semakin merudum. Inflasi semakin meningkat, indeks BSKL merudum dari 1,400 mata pada awal 2008 kepada kurang dari 1100 mata sejak akhir-akhir ini. Rakyat semakin terbeban kerana kegagalan Pak Lah meningkatkan ekonomi negara. Harga minyak dinaikkan oleh Pak Lah tanpa kajian terperinci yang menyebabkan rakyat terus menderita menghadapi impak kenaikan minyak apabila barangan keperluan harian melambung tinggi tanpa dapat dibendung.

Kestabilan politik negara semakin goyang yang menyebabkan keyakinan pelabur terhakis. Pak Lah memimpin kerajaan ke arah kehancuran disebabkan kelekaan beliau mengawal pentadbiran negara dari dipengaruhi oleh orang sekeliling beliau. Akhirnya akibat rakyat meluat dan benci dengan keadaan ini, BN dihukum oleh rakyat pada PRU ke 12 lalu dengan BN kehilangan 5 buah negeri dan gagal mempertahankan majoriti 2/3 yang dimenangi oleh BN sejak PRU pertama. Kelemahan Pak Lah ini tangkas diambil kesempatan oleh Pakatan Rakyat apabila semakin hari semakin cerah harapan mereka untuk membentuk kerajaan pusat yang baru.

Jenayah semakin meningkat sejak Pak Lah mengambilalih tampuk kepimpinan negara. Kes pembunuhan, rogol, rompak dan sebagai meningkat beriringan dengan masalah sosial yang lain seperti maksiat, khalwat, zina, buang anak, gejala dadah dan lain-lain. Namun Pak Lah dilihat tidak menunjukkan sebarang kerisauan dan kebimbangan.

Rasuah terus menjadi amalan dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Pak Lah. Indeks Rasuah antarabangsa, CPI merudum saban tahun. Sudah berapa ramai Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai Tinggi pentadbiran Pak Lah ditahan kerana rasuah. Semua ini sepatutnya merisaukan Pak Lah namun beliau kelihatan tersenyum manja sahaja menghadapi kes sebegini.

Pak Lah dengan kelemahan dan kelekaan beliau meneruskan semua akta dan undang-undang zalim ciptaan Mahathir yang sepatutnya sudah lama dimasukkan ke muzium. Antaranya kezaliman Mahathir ditamabah lagi oleh Pak Lah apabila memenjarakan begitu ramai rakyat yang tidak dibuktikan bersalah dibawah ISA. "Memenjarakan" mahasiswa dengan AUKU. Mengunci mulut rakyat dengan OSA dan menyekat kebebasan berhimpun secara aman dengan akta Polis dan sebagainya. Malah program-program ceramah politik terus diganggu oleh pihak keselamatan dengan 'road block' dan sebagainya.

Bangsa Melayu dan kedaulatan Agama Islam terus terancam. Gejala murtad yang terus membarah tidak diambil tindakan pencegahannya oleh Pak Lah. Malah Pak Lah dilihat gagal mempertahankan Islam dalam isu IFC. Malah Pak Lah juga gagal mengambil tindakan di atas keberanian anggota kabinet mencabar perlembagaan negara seksyen 121 (1A) dalam isu kedaulatan Islam.

Banyak lagi kelemahan dan kelekaan Pak Lah dalam mentadbir negara ini. Cukup rasanya fakta dan analisa di atas sebagai justifikasi mengapa Pak Lah mesti digantikan dengan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Mengapa Anwar?

Tidak ada gunanya jika Pak Lah digantikan dengan pemimpin BN yang lain seperti Najib, Ku Li atau Muhyiddin kerana semua mereka ini sudah pasti akan meneruskan gaya dan stail kepimpinan BN yang sudah menjadi darah daging dan 'wirid' harian mereka. Sebagaimana yang dilakukan oleh Pak Lah dengan meneruskan 'kejahatan' dan 'kebongkakan' Mahathir dahulu.

Bagaimana Anwar dapat menggantikan Pak Lah?

Mudah sahaja!. Pak Lah jangan menghalang ahli-ahli Parlimen BN yang semakin ramai menunjukkan minat untuk menyertai Pakatan Rakyat. Bukakan seluas-luasnya hak mereka untuk memilih siapa yang mahu mereka sokong. Dalam perkara ini sepatutnya BN tidak perlu mengadakan akujanji taat setia kepada BN kerana BN sendiri sudah jelas gagal mentadbir negara dengan baik. BN sudah kekeringan idea dan program untuk menyelamatkan negara dan rakyat.

Jadi adalah diharapkan Pak Lah tidak mengugut dan mengongkong ahli-ahli Parlimen ini, bebaskan dari belenggu politik yang ketinggalan zaman.

Terima Kasih Pak Lah. Kami amat berharap Pak Lah supaya berjiwa besar dengan memberikan laluan kepada orang lain yang lebih berkaliber dan berkarisma.

Comments

DR SURESH said…
Hi bang,
Semua gejala2 BN, abang sudah mengemukakan di posting ni,tetapi ada satu gejala BN yg penting abang tidak tulis.Iaitu kesalahan BN ataupun yg lebih tepat sekali UMNO, menghapuskan perpaduan kaum.Apa pendirian abang terhadap pemimpin2 umno baru2 ini yg bersifat perkauman dlm hujah2 mereka?
Regards.