MCA BAKAL BERGOLAK HEBAT SEPERTI UMNO - Ref Malaysiakini

Setiap kali pemilihan parti maka parti-parti utama komponen BN akan bergolak hebat. Tidak kira Umno, MCA, MIC maupun Gerakan semuanya terpaksa menghadapi fenomena tradisi mereka ini. Semua ini membuktikan bahawa pimpinan mereka hanya mementingkan pangkat dan kedudukan. Sebab itu mereka akan melakukan apa sahaja demi untuk memastikan nama mereka tidak tercicir dari senarai pemenang dalam pemilihan parti mereka.

Wang, ugut, janji, fitnah, tohmah, surat layang, bomoh, VCD dan sebagainya dijadikan senjata masing-masing untuk menang pada pemilihan tersebut. Malah terbukti dalam sejarah ada pimpinan mereka yang dikerat lapan belas oleh bomoh, ada yang ditembak mati, ada yang difitnah, ada yang menggunakan wang, ada yang menggunakan samseng dan tidak kurangnya menggunakan surat layang bagi menjatuhkan lawan dan saingan mereka.

Inilah bahananya apabila pemimpin-pemimpin sudah kelabu mata, hanya mementingkan kedudukan dalam parti kerana mereka tahu jawatan dalam parti adalah aset untuk dilantik menjadi calon pilihanraya, mendapat projek, jadi ahli majlis kerajaan tempatan dan sebagainya. Maka kemenangan menjadi matlamat tidak kira dengan apa cara sekalipun walaupun bertentangan dengan agama, moral dan undang-undang negara.

Mereka ini sudah tidak menghiraukan halal haram, moral dan undang-undang. Dosa dan pahala, etika dan moral, mahkamah dan penjara tidak ditakuti mereka. Mereka ini seolah-olah kebal dan 'imune' terhadap undang-undang negara. Sebab itu kesemua pimpinan Umno yang terlibat dengan rasuah politik (politik wang) tidak didakwa di mahkamah hanya sekadar digantung oleh Umno. Antara yang terlibat seperti Isa Samad, Zaid Ibrahim, Shahiruddin Moin, Amid Nordin dan lain-lain. Malah ada pesalah-pesalah ini terus diberi kepercayaan untuk menjadi menteri oleh Imam Hadhari.

Kekalutan dan pergolakan ini juga akan melanda MCA dengan hebat berikutan pengunduran Presiden MCA sekarang Ong Ka Ting yang telahpun mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan MCA akan datang.

Malaysiakini melaporkan bahawa Pencabar Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat yang bertanding jawatan presiden MCA, dikatakan telah menghimpunkan "sekumpulan calon hebat", yang disokong beberapa pemimpin berpengaruh, termasuk bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Walaupun menafikan beliau membentuk sebuah pasukan bagi menghadapi pemilihan itu, tetapi Dr Ling mengaku beliau ada berbincang dengan beberapa pemimpin parti yang beliau sifatkan sebagai "hanya satu perbualan biasa".Bernama melaporkan, kumpulan itu dikatakan dianggotai saki baki anggota Team A sewaktu krisis kepimpinan MCA dulu, yang memaksa Dr Ling mengundurkan diri daripada politik melalui pelan damai yang disyorkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara tokoh yang dikatakan menganggotai pasukan itu ialah bekas naib presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, naib-naib presiden Datuk Donald Lim dan Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen dan dua anak lelaki Dr Ling -- Datuk Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat."Nampaknya Soi Lek akan berentap dengan Tee Keat, dengan mendapat sokongan penuh daripada pasukan itu."Jika ini terjadi, macam mana Tee Keat nak bertanding jika beliau tidak ada kumpulan," kata seorang pemimpin peringkat akar umbi.

Chua nafi ada kumpulan

Semasa bercakap dengan Bernama baru-baru ini, Dr Chua tidak menafikan wujudnya kumpulan itu dan berkata beliau bercadang untuk kembali semula serta mempunyai pasukan yang akan membantunya dalam pertandingan itu nanti."Mungkin saya telah bersara secara diam-diam daripada politik kalaulah bukan kerana keadaan yang berlaku selepas saya mengaku bahawa sayalah orang dalam VCD berkenaan.

Mereka layan saya macam pariah."Kalaulah mereka layan secara lebih beradab, mungkin saya telah bersara secara terhormat dan tidak lagi berhasrat untuk kembali aktif dalam politik," katanya.

Walaupun Dr Chua tetap membisu tentang jawatan yang akan beliau tandingi, namun pemimpin ini tidak menafikan bahawa beberapa pemimpin MCA serta ahli politik senior dan veteran parti itu akan memberi sokongan jika beliau membuat keputusan untuk bertanding bagi jawatan tertinggi parti.

"Sesetengah orang masih berpendapat saya mempunyai pengalaman. Saya ahli politik yang berterus terang.

Mereka berpendapat saya memiliki keberanian bagi menyuarakan isu yang melibatkan mereka," katanya.Anggota dan orang dalam MCA meramalkan Dr Chua akan bertanding bagi jawatan presiden dengan memilih Donald Lim sebagai regunya bagi merebut jawatan timbalan presiden dan Dr Fong serta Dr Ng sebagai regu bagi merebut jawatan naib presiden.

'Bertanding secara solo'

Sementara itu, seorang anggota lama parti dan beberapa anggota MCA lain berpendapat Tee Keat perlu mempunyai kumpulan dan bertanding secara solo tidak memberi banyak harapan bagi beliau kerana ranjau yang perlu dihadapi amat menyeksakan.Bagaimanapun, beberapa penyokong Tee Keat berkata mereka tidak nampak wujud sebarang masalah sekiranya menteri pengangkutan itu ingin bertanding secara solo."Kenapa tidak? Selama ini pun, apa yang dipanggil `cai tan' (senarai calon), lebih bertujuan bagi menampilkan kepentingan sesuatu pasukan... ia bukan kerjasama secara berpasukan dalam erti kata sebenar.

"Demi kebaikan masyarakat Cina, kenapa tidak? Kalau seseorang itu bekerja atas dasar kerjasama berpasukan dalam erti kata sebenarnya, ia tak jadi masalah," kata bekas senator Tan Boon Yu.

Bagaimanapun, penyokong lain agak cemas apabila berdepan dengan keputusan Tee Keat untuk bertanding secara solo dengan berkata dalam politik sebenar, pendekatan "ala lone ranger" tidak wajar diamalkan.Mereka menjadi lebih gusar apabila memikirkan tentang kemungkinan Tee Keat akan berdepan dengan sebuah pasukan kuat, yang memiliki kehebatan dari segi politik dan sumber kewangan.

"Saya telah menasihati beliau supaya mengkaji semula pendekatan itu. Sekurang-kurangnya, beliau perlu mempunyai sekumpulan penyokong untuk membantu beliau," kata pengerusi MCA Bahagian Pandan Eric Ong, penyokong kuat Tee Keat.

Imbas kembali

Seorang individu yang merupakan orang dalam MCA berkata Tee Keat perlu melihat kembali keputusan pemilihan parti pada 2005. "Pada 2005, Tee Keat menduduki tempat ketiga dalam pertandingan bagi jawatan naib presiden, di belakang Dr Fong dan Dr Chua.

Itu pun setelah mendapat sokongan daripada pergerakan pemuda. "Memanglah, apabila beliau bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda MCA pada 1999, beliau melakukannya secara solo dan menang. Tapi sekarang, beliau perlu berfikir dengan mendalam jika ingin bertanding bagi jawatan presiden," katanya. Bekas Naib Presiden MCA Tan Sri Lee Kim Sai, yang pernah menjadi mentor politik Tee Keat, meragui hasrat Tee Keat untuk bertanding secara solo bagi merebut jawatan presiden MCA.

Beliau berkata bertanding secara solo hanya merupakan cara Tee Keat untuk menyatakan bahawa beliau tidak mahu mewujudkan kumpulan dalam MCA. "Kadang-kadang, orang tak perlu beritahu anda bahawa anda adalah rakannya. Ada masanya, bahasa tubuh mereka akan menerangkan perkara itu kepada anda. "Mempunyai pasukan bukan perkara yang tidak baik. Apa yang kami tak mahu lihat ialah wujudnya keadaan berpuak-puak. Saya tidak fikir beliau (Tee Keat) akan berjuang secara berseorangan dan memberitahu orang lain supaya jangan menghalangnya, kerana jika anda buat begitu, anda sebenarnya menuju ke lubang kubur.

Siapa bakal regu?

"Kalau ada orang memberi sokongan, beliau akan cuba mengelak wujudnya andaian bahawa beliau membentuk suatu puak. Itu memang gaya beliau," kata Lee kepada Bernama. Tee Keat pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Lee ketika beliau menyandang jawatan Menteri Kesihatan pada 1990-an. Tetapi, sekiranya Tee Keat membuat keputusan untuk mempunyai regu, soalan seterusnya ialah siapakah yang akan beliau pilih?

Ketua Pemuda MCA, yang juga Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai seolah-olah menjawab soalan ini apabila beliau mengumumkan bahawa beliau tidak bertanding bagi jawatan nombor satu parti, sebaliknya akan menyokong Tee Keat merebut jawatan presiden.

"Saya mengagak beliaulah yang menjadi regu Tee Keat berdasarkan manifesto pemilihan," kata seorang anggota MCA yang enggan dikenali."Bagaimanapun, langkah paling selamat bagi Liow ialah bertanding bagi jawatan naib presiden. Tapi, siapa lagi yang akan menjadi regu Tee Keat kalau bukan Liow?" tanya seorang pemimpin bahagian.

Sesetengah anggota MCA percaya Liow mengambil langkah yang berisko tinggi sekiranya beliau bertanding bagi jawatan naib presiden kerana terdapat "pihak berkepentingan" yang ingin mengalahkan beliau bagi mengambil alih jawatan menteri yang beliau sandang.

Comments